Skandal 1MDB Kontroversi Najib Razak

1Malaysia Development Berhad

1Malaysia Development Berhad telah ditubuhkan pada 2009 oleh Najib. Pada tahun 2015, selepas hanya enam tahun operasi, 1MDB dilaporkan telah menanggung hutang sebanyak MYR 42 bilion (kira-kira USD 11.1 bilion), mendorong unjuran negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.[5] Pada 2 Julai 2015, The Wall Street Journal menjalankan satu pendedahan mendakwa bahawa MYR 2.672 bilion telah disalurkan dari 1MDB ke akaun bank peribadi Najib, mencetuskan panggilan meluas untuk meletak jawatannya.[6][7][8] Najib bertindak balas terhadap tuduhan rasuah dengan mendakwa bahawa RM 2.6 bilion adalah derma politik, dan menggantikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, serta Menteri-Menteri lain yang kritis terhadap kepimpinannya. Najib menyatakan bahawa sebabnya adalah untuk mewujudkan lebih banyak "pasukan bersatu".[9]

Perhimpunan Bersih 2015, mereka menggesa peletakan jawatan Najib berikutan skandal 1MDB.

Polis Hong Kong telah memulakan siasatan berhubung deposit cawangan Credit Suisse bernilai AS$ 250 juta di Hong Kong yang dikaitkan dengan Najib dan 1MDB.[10][11]

Pada bulan Julai 2015, Kerajaan Malaysia mengadakan beberapa langkah kawalan seperti menyekat portal berita Sarawak Report dari terus boleh diakses di Malaysia. Sarawak Report sebelum ini telah melaporkan beberapa berita sensasi berkenaan dakwaan salah laku 1MDB dan kaitannya dengan Najib Razak, sekali mencetuskan pelbagai reaksi dari para pengguna internet.[12] Malah dalam tempoh beberapa bulan yang lepas, Kerajaan malaysia turut menggantung lesen penerbitan akhbar kewangan dan berita The Edge, yang turut melaporkan tentang skandal 1MDB.[13]

Pada 3 Oktober 2015, bekas Presiden MCA Ling Liong Sik menyambut Mahathir bin Mohamad supaya Najib meletakkan jawatan. Kata Ling itu, Najib harus berundur daripada jawatan perdana menteri kerana "mengambil duit orang lain" dan memasukkannya ke akaun peribadi.[14]

Amerika Presiden Donald Trump bertemu Najib. Seorang pegawai kanan AS mengakui bahawa ia adalah luar biasa untuk bertemu dengan Najib ketika 1MDB berada di bawah pengawasan pengawalseliaan.

Pada bulan September 2017, Amerika Presiden Donald Trump mengalu-alukan Najib ke Rumah Putih, dengan memuji keputusan Malaysia melabur di Amerika Syarikat tetapi mengelak menyentuh siasatan negara itu terhadap satu dakwaan skandal rasuah. Seorang pegawai kanan AS mengakui bahawa ia adalah luar biasa untuk bertemu dengan Najib ketika 1MDB berada di bawah pengawasan pengawalseliaan.[15]

Pada bulan Mac 2018, skandal 1MDB dipaparkan dalam majalah hal ehwal semasa Indonesia, Tempo.[16]

Pertama kali Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan. Pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama. Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama. Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun berserta denda RM210 juta.

Secara keseluruhan, beliau berdepan 42 pertuduhan.

Pengharaman melancong

Pada 12 Mei 2018, Jabatan Imigresen Malaysia memberi pengesahan mereka menyenarai hitam nama Najib dan isterinya Rosmah Mansor. Dengan keputusan itu Najib terbabit serta isterinya tidak boleh meninggalkan negara ini untuk apa-apa urusan pun, termasuk bercuti.[17]

Buat laporan

Pada 14 Mei 2018, seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan kepada SPRM berhubung beberapa dakwaan melibatkan Najib. Bekas Pengarah Risikan dan Siasatan SPRM Abdul Razak Idris berkata laporan itu berkaitan apa yang disyaki sebagai tindakan menghalang siasatan berhubung kes Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan 1MDB.[18]

Memberi keterangan kepada SPRM

Pada 18 Mei 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur, bagi memberi notis memintanya hadir sebelum pukul 10 pagi 22 Mei ini untuk memberi keterangan bagi kes tersebut.

Pada 22 Mei 2018, Najib beredar dari Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 3.15 petang selepas lebih lima jam memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kes SRC International. Najib ketika ditemui media di lobi bangunan berkenaan berkata, beliau akan hadir semula di Ibu Pejabat SPRM pada 24 Mei ini untuk sambung memberi keterangan kepada SPRM.[19]

Pada 24 Mei 2018, Najib memberi keterangan untuk kali kedua kepada SPRM dan mengambil masa lebih tujuh jam berhubung siasatan kes sama.[20] Najib ketika ditemui di lobi bangunan berkata, beliau sudah selesai sepenuhnya memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes berkenaan.[21]

Carian kediaman

Pada 27 Jun 2018, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh berkata jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan Najib ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion. Amar Singh berkata, sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis. Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.[22]

Penangkapan dan prosiding undang-undang

Pada 3 Julai 2018, Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat Langgak Duta kira-kira jam 3 petang.[23][24]

Pada 4 Julai 2018, Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.[25] Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 8 Ogos 2018, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.[26]

Pada 10 Ogos 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk melarang media dan orang ramai daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kes jenayahnya yang akan membuat inferens (kesimpulan) Najib bersalah sementara menunggu kesnya selesai.[27]

Pada 13 Ogos 2018, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak untuk mengeluarkan perintah melarang media dan orang awam daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kesnya.

Pada 20 Sept 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion. Najib bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.[28]

Pada 18 Disember 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan surat pelantikan Sulaiman Abdullah bagi mengetuai pasukan pendakwaan dan permohonannya untuk mendapatkan dokumen berhubung kes itu.[29]

Pada 17 Januari 2019, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Manoj Kurup dalam surat bertarikh 17 Jan 2019 yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan, menyatakan permohonan itu "adalah remeh dan akan menyebabkan kelewatan yang tidak munasabah terhadap perbicaraan yang dijadualkan".[30]

Pada 28 Januari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta. Najib mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.[31]

Pada 11 Februari 2019, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga rayuannya berhubung keputusan pendakwa raya menarik balik sijil perpindahan tujuh pertuduhan terhadapnya, selesai.[32]

Pada 14 Februari 2019, Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Mac untuk mendengar empat rayuan Najib bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan interlokutori Najib mengenai tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC.[33]

Pada 28 Mac 2019, Mahkamah Tinggi menetapkan 3 April pada 2 petang bagi perbicaraan kes SRC Najib.[34]

Pada 1 April 2019, Najib memfailkan satu lagi rayuan (permohonan semakan) terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya menangguhkan perbicaraan kesnya berkaitan SRC.

Pada 27 Ogos 2019, Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 orang saksi.[35]

Pada 11 November 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.[36]

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.[37]

Pada 11 Mac 2020, Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.[38]

Pada 5 Jun 2020, Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai bagi keputusan.[39]

Disabitkan kesalahan

Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.[40][41]

  • Bagi satu kes salah guna kuasa, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
  • Bagi tiga kes pecah amanah, hakim menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan.
  • Bagi tiga kesalahan pengubahan wang haram pula, Najib dihukum penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan.[40][41]

Semua hukuman penjara akan berjalan serentak, menjadikan tempoh hukuman penjara sebenar adalah 12 tahun.[40][41]

Sekiranya gagal membayar denda RM210 juta - yang merupakan lima kali ganjaran RM42 juta yang diterima oleh Najib - maka beliau akan dipenjara lima tahun lagi.[40][41]

Rayuan

Pada 30 Julai 2020, Najib mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Beliau melalui peguamnya memfailkan notis rayuan berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta.[42]

Pada 2 Disember 2020, Najib mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuan terhadap sabitan. Beliau berkata Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkhilaf dalam fakta dan undang-undang apabila mensabitkan serta menjatuhkan hukuman bagi kesemua tuduhan terhadapnya.[43]

Pada 5 Apr 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuannya terhadap sabitan bersalah dan hukuman dalam kes rasuah RM42 juta SRC International. Justeru Mahkamah Rayuan meneruskan pendengaran permohonan tersebut.[44]

Pada 18 Mei 2021, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya selepas selesai mendengar rayuan Najib, yang berlangsung selama 15 hari. Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.[45]

Pada 23 November 2021, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Disember setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Disember.[46]

Pada 24 November 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.[47]

Pada 2 Disember 2021, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.[48]

Pada 3 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

Pada 7 Disember 2021, Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Disember berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib.[49] Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan.[50]

Najib akan memohon Peguam Diraja dari United Kingdom untuk rayuannya bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.[51]

Enam pertuduhan pecah amanah

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar bin Abdullah mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.[52]

Pada 14 Mei 2019, Mahkamah Tinggi menetapkan selama 52 hari bermula 6 Januari 2020 untuk perbicaraan kes Najib dan Mohd Irwan.[53]

Pada 3 Mac 2022, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Najib dan Mohd Irwan, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan IPIC yang dihadapi mereka. Hakim Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya berkata mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut, mengambil kira faktor pihak pendakwaan telah bersedia dengan perbicaraan.[54]

Utusan desak Najib minta maaf

Pada 4 November 2018, Utusan Malaysia menuntut Najib memohon maaf kepada Umno kerana berbohong mengenai sumber berbilion ringgit yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib. Akhbar yang menyokong Najib sejak sekian lama itu mengubah pendirian selepas mendapati pembohongan Najib menyebabkan Umno kalah pilihan raya umum 9 Mei.[55]

Pinda laporan audit 1MDB

Pada 12 Disember 2018, Najib serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. Najib mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mengarahkan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.[56] Hakim Azura Alwi membenarkan Najib dibebaskan dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jan 2019 untuk sebutan kes berkenaan.[57]

Pada 14 Mac 2019, Perbicaraan terhadap Najib dan Arul Kanda atas dakwaan meminda laporan audit syarikat itu akan didengar di Mahkamah Tinggi. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu daripada mahkamah sesyen.[58]

Pada 7 Mac 2022, perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi ditangguhkan ke hujung bulan ini. Selepas prosiding kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam berkata, ia berikutan peguam yang mewakili Najib itu masih berada di luar Negara.[59]

Tunggakan cukai

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.[60]

Najib kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan. Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

Pada 6 April 2021, LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion.[61]

Pada 14 Jun 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN.[62]

Pada 9 September 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan anaknya Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.[63]

Pada 21 Oktober 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin menangguhkan sementara pembayaran tunggakan cukai pendapatan masing-masing yang berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.[64]

Saman terhadap Ambank dan Joanna Yu

Pada 10 Disember 2019, Najib menyaman AmBank dan bekas pengurus hubungannya, Joanna Yu kerana menerima arahan daripada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Jho Low serta mendedahkan maklumat perbankan kepadanya. Menurut peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee, Joanna Yu mengambil arahan daripada Low dengan menghalang amaran 'red flags' terhadap akaunnya dikeluarkan dan menghalang ahli politik berkenaan daripada dimaklumkan mengenai perkara itu serta mengambil tindakan.[65]

Joanna Yu, adalah saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC yang dihadapi Najib melibatkan tujuh pertuduhan.

Pada 29 Januari 2020, Joanna Yu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib.[66]

Pada 28 September 2020, Joanna Yu berjaya dalam usahanya membatalkan saman berkaitan 1MDB terhadapnya oleh Najib. Semasa membacakan keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi Khadijah Idris berkata tindakan undang-undang itu tidak dapat dilaksanakan.[67][68]

Setelah mempertimbangkan afidavit (antara bukti semasa prosiding), mahkamah ini berpendapat bahawa tindakan plaintif (Najib) adalah bersifat melampau (scandalous), sembrono, menjengkelkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Tindakan (saman) ini oleh plaintif bukan untuk menuntut ganti rugi tetapi untuk tujuan jaminan bagi mendukung (pihak pembelaan) plaintif dalam kes SRC, dan dengan demikian merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.[67][68]

Pada 27 Januari 2022, Najib gagal dalam rayuannya agar samannya terhadap Ambank dan Joanna Yu kerana mendedahkan butiran maklumat akaunnya kepada individu yang tidak dibenarkan didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Yaacob Md Sam bersama Hadhariah Syed Ismail dan Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan sebulat suara menolak rayuan Najib selepas mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit dan tiada kekhilafasan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membolehkan keputusan sebelum ini dipinda.[69][70][71]

Tersenarai dalam pangkalan data pesalah rasuah

Pada 14 Sept 2020, nama Najib tersenarai dalam data pesalah rasuah yang dikemas kini di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Maklumat yang turut memaparkan nombor kad pengenalan serta perincian kes Najib itu menjadi paparan muka pertama bahagian statistik data pesalah rasuah yang turut menyenaraikan 632 lagi senarai pesalah rasuah lain.[72][73]

Kes saman AS1.18 bilion SRC

Pada 7 Mei 2021, SRC International Sdn Bhd di bawah pengurusan barunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Ismee Ismail. Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan. SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan. Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

Pada 22 Februari 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Fairuz Zainol Abidin menolak permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman itu selepas berpendapat Najib tidak akan diprejudis jika saman tersebut diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.[74]

Pada 24 Februari 2022, kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC terhadap Najib telah ditetapkan untuk perbicaraan selama 16 hari bermula 13 Februari 2023.[75]

Mendapatkan semula pasport antarabangsa

Pada 18 Oktober 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkan beliau menemani anak perempuannya Nooryana Najwa yang bakal bersalin awal November ini.[76]

Saman terhadap Tommy Thomas

Pada 22 Oktober 2021, Najib memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta. Najib mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu. Beliau mendakwa, pada 2015, Tommy bertemu dengan Mahathir bin Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.[77][78]

Pada 19 November 2021, Tommy Thomas dan kerajaan Malaysia telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman Najib selepas mendakwa tindakan Najib menyaman mereka adalah suatu serangan sampingan bagi menghalang prosiding kes jenayah terhadapnya.[79]

"Tiada satu sen pun diguna bayar hutang 1MDB"

Pada 2 Mac 2022, Najib berkata tiada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB. Ini kerana, katanya pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.[80]

Jangan kita beri alasan hutang 1MDB sebagai merosakkan kewangan negara, hakikatnya satu sen pun hutang prinsipal 1MDB tidak pernah dibayar pada 2018.
Pada 2018, hutang 1MDB adalah RM32 bilion, 2019, 2020, 2021 hutang (kekal) RM32 billion.
Adalah tidak betul untuk cadangkan bahawa rakyat perlu tanggung atau bayar hutang 1MDB.
Misalnya RM16 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs, bukan daripada wang rakyat, itu wang Goldman Sachs.
Kita juga menerima RM3 bilion daripada DOJ, RM2.83 bilion daripada Ambank, RM340 juta daripada KPMG dan RM324 juta daripada Deloitte.
Kesemuanya ini hampir RM23 billion, ini bukan wang rakyat. Sepatutnya wang ini boleh digunakan bayar hutang 1MDB.[80]

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia masih belum membayar balik jumlah hutang prinsipal 1MDB sebanyak RM32.3 bilion, tetapi negara sedang membuat bayaran faedah hutang tersebut iaitu sebanyak RM6.5 bilion.[81]

Kita sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana prinsipal hutang tersebut akan matang lambat lagi.
Jadi dakwaan bahawa belum lagi kita bayar prinsipal hutang 1MDB ini adalah tidak berasas.
RM32.3 bilion ini tarikh matang dia di antara 2022 hingga 2039. Jadi, belum lagilah dibayar, ini prinsipalnya, tapi kita sudah mula membayar faedahnya.[81]

Tengku Zafrul, berkata, prinsipal hutang 1MDB merangkumi bon terbitan 1MDB Enegry Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd sebanyak RM12.6 bilion dan sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) bernilai RM5 bilion.[81]

Ahli parlimen pembangkang Tony Pua Kiam Wee (Pakatan Harapan-Damansara) juga mahu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat semasa membahaskan titah diraja. Katanya, Najib sebenarnya melakukan kesalahan fakta dalam beberapa isu yang dibangkitkannya khususnya mengenai 1MDB, pengambilalihan loji pengeluar tenaga bebas (IPP) dan nilai aset Bandar Malaysia.[82]

Pada 7 Mac 2022, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau telah menulis surat kepada Najib bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan meminta Najib memberi kenyataan.[83]

Rujukan

WikiPedia: Kontroversi Najib Razak http://www.abc.net.au/news/2015-07-29/malaysia-pm-... http://www.channelnewsasia.com/news/asiapacific/ma... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://abcnews.go.com/International/wireStory/mala... http://www.reuters.com/article/2015/07/24/us-malay... http://www.theguardian.com/world/2015/jul/20/saraw... http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/articl... http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/articl... http://www.malaysianbar.org.my/press_statements/pr... https://www.asiaone.com/malaysian-pm-najib-razak-n...